Oleh Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tiket ke pentas grand final Kejohanan Dunia IESF (WEC 2025) bagi judul permainan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang berlangsung di Quill City Mall.
Kejayaan mengatasi seteru utama, Indonesia di peringkat separuh akhir menerusi kemenangan 2-0 meletakkan Malaysia hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan.
‘Game’ pertama, dominasi terus disajikan Malaysia dengan Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) yang mengawal hero ‘Hayabusa’ paling menonjol.

Hanya 12 minit diperlukan skuad negara untuk mengunci kemenangan pertama ke atas Indonesia.
Memasuki ‘game’ kedua, Indonesia cuba untuk memberikan cabaran.
Bagaimanapun, permainan kemas yang disajikan Malaysia menerusi aksi sepasukan jelas sukar untuk dicabar.

Kali ini, permainan diheret sehingga 17 minit sebelum Malaysi melengkapkan kemenangan 2-0 dan melangkah ke pentas grand final buat kali kedua berturut-turut.
Malaysia dijadualkan bertemu dengan Kemboja pada aksi penentuan kejuaraan malam ini dengan sasaran sudah pasti untuk mempertahankan gelaran juara dunia buat kali kedua berturut-turut selepas sejarah yang dicipta di Riyadh, Arab Saudi tahun lalu.